matpek's property ©
MATPEK'S PROPERTY © ~ 2010 COPYRIGHT RESERVED ~ LAYOUT EDITED BY MATPEK

Sunday, August 29, 2010

Siapa kata korek hidung atau telinga batal puasa..??

Terdapatnya kepelbagaian pendapat dalam hal memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan membatalkan puasa. Antara yang berpendapat memasukkan sesuatu di dalam rongga tidak membatalkan puasa adalah Syaikh Attiyah Saqr (mantan Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar), Dr. Yusuf al-Qardhawi (Ketua Majlis Fatwa Eropah), Syaikh Mohammad Salih Al-Munajjid, Dr. Muzammil Siddiqi (Ketua Majlis Fiqh Amerika Utara) dan ramai lagi.

Dalam membahaskan mengenai perkara-perkara yang membatalkan puasa,Dr. Yusuf al-Qardhawi berkata:

Para ahli fiqh radhiallahu 'anhum telah memperluas pembahasan hal-hal yang membatalkan puasa sedemikian rupa sehingga saya tidak yakin hal-hal tersebut pernah terfikir di benak seorang jua daripada para sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, yakni orang-orang yang menyaksikan secara langsung penurunan al-Qur’an, yang memahami secara terus pesanan Allah dan Rasul-Nya dengan sebaik-baik pemahaman dan yang berpegang teguh kepadanya dengan sebaik-baiknya.

Banyak ahli fiqh telah memperlebarkan wilayah pembahasan akan hal-hal yang dianggap membatalkan puasa. Para fuqaha Mazhab Hanafi telah menyebut sekitar 57 perkara manakala fuqaha Mazhab al-Syafi‘e tidak kalah banyaknya. Sejumlah ulama’ masa kini bahkan memperincikan hal-hal yang dapat membatalkan puasa secara aneh. Mereka membuat kaedah-kaedah lalu membangun di atasnya cabang-cabang persoalan yang tidak terhitung bilangannya. Namun kaedah-kaedah itu sendiri tidak didasarkan kepada dalil-dalil yang kuat daripada al-Qur’an dan al-Sunnah. Ada di antara mereka yang berkata bahawa kemasukan sesuatu benda, seperti kerikil umpamanya, ke dalam rongga badan orang yang berpuasa akan membatalkan puasanya. [Fiqh al-Siyam (edisi terjemahan oleh Ma’ruf Abdul Jalil dan rakan-rakan dengan judul Fiqh Puasa; Era Intermedia, Solo 2001), ms. 118 & 107-108]

Sememangnya tiada dalil jelas dari al-Quran mahupun as-Sunnah yang melarang daripada mengorek hidung ataupun telinga. Bagi yang berpendapat ianya membatalkan mereka bersandar kepada dalil:

Sempurnakanlah wudhu’ dan bersungguh-sungguhlah dalam menyedut air ke dalam hidung (dan menghembusnya) kecuali jika kamu sedang berpuasa. [Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 333 (Kitab Thaharah, Bab Anjuran menyedut air ke dalam hidung…).]

antara hadith lain
...berlebih-lebihlah dalam memasukkan air ke dalam hidung (memasukkan secara sepenuhnya) kecuali ketika berpuasa. (Hadis Riwayat Abud Daud, no. 2366, at-Tirmidzi, no. 788, an-Nasa’e, no. 87)

Daripada sabda Rasulullah s.a.w “…menyedut air ke dalam hidung (dan menghembusnya) kecuali jika kamu sedang berpuasa.” Difahami sebagai dilarang menyedut air ke dalam hidung ketika sedang berpuasa. Jika dimasukkan air maka perbuatan tersebut membatalkan puasa. Pemahaman ini kemudian diluaskan kepada semua rongga tubuh berdasarkan qiyas (analogi).

Fahaman ini adalah tidak tepat kerana pengecualian yang dimaksudkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bukan ditujukan kepada menyedut air ke dalam hidung tetapi kepada “bersungguh-sungguh” dalam penyedutan tersebut. Dalam erti kata lain yang dimaksudkan oleh Rasulullah ialah, apabila berwudhu’ dalam keadaan berpuasa, tidak perlu bersungguh-sungguh menyedut air ke dalam hidung kerana dibimbangi sebahagiannya akan masuk jauh ke dalam sehingga sampai ke tenggorok dan ditelan sebagai “minuman.” [Yusuf al-Qaradhawi - Fiqh al-Siyam, ms. 117. Dinukil dari Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa, Jahabersa]

Perkara yang sememangnya jelas membatalkan puasa adalah sepeti dalam firman Allah:

Maka sekarang (1) setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan (2) makanlah serta (3) minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).[al-Baqarah 2:187]

Dan kalau dilihat jelas bahawa mengorek telinga atau memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan tidak termasuk dalam perkara-perkara yang ditegah ketika berpuasa. Adapun persetubuhan sekalipun bukanlah perbuatan makan atau minum tetapi larangannya disebut secara jelas di dalam ayat di atas. Juga di dalam sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

Setiap amal anak Adam adalah bagi dirinya…kecuali puasa maka ia adalah untuk Aku dan Aku sendiri akan membalasnya. Dia (anak Adam) meninggalkan makanan kerana Aku dan meninggalkan minuman kerana Aku dan meninggalkan kenikmatan kerana Aku dan meninggalkan isterinya (tidak bersetubuh) kerana Aku. [Dikeluarkan oleh Ibn Khuzaimah di dalam Shahihnya – hadis no: 1897 dan dinilai sahih oleh Muhammad Mustafa al-‘Azami.]

Sebagai kesimpulan mengenai isu mengorek telinga ketika berpuasa saya ingin menukilkan fatwa Syaikh Attiyah Saqr:

Puasa tidak terbatal dengan meletakkan jari ke dalam telinga atau kerana membersihkannya dengan cotton pad atau dengan larutan. Memandangkan tiada yang dapat meresap melalui gegendang telinga dan sampai kepada kepala, yang mana ianya juga bukan organ menerima makanan yang menyuburkan tubuh badan. [rujuk: http://www.islamonline.net ]

Di atas hujah-hujah yang sama ulama’-ulama’ mutakhir menyatakan perbuatan memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan (sekiranya ia tidak sampai ke perut) tidak membatalkan puasa.

2 comments:

MissXYZ a.k.a Abaikan said...

yup sy penah belajar hal ni daripada seorang ustaz daripada kelantan yg mengajar di UiTM =)

armouris said...

info tentang korek telinga di SIHAT SELALU - Bahaya Korek Telinga

Next previous home
Related Posts with Thumbnails

KOMRAD