Ada orang tanya, apa ciri-ciri perempuan yang saya suka. Kebelakangan ini, rajin pula ada orang bertanyakan soalan-soalan berikut:
“Kalau ada orang nak kahwin dengan awak, awak nak terima?”
“Kalau ada perempuan kata kat Hilal, dia suka Hilal, Hilal nak tak dia?”
“Kalau ada orang nak offer adik dia ke, anak dia ke, Hilal agak-agak, nak tak?”
“Apa ciri-ciri perempuan yang Hilal akan terima?”
Saya tak tahu la kenapa terima menerima, nak tak nak ni. Dia bukan masalah orang offer, atau orang nak kat saya atau sebagainya. Persoalannya, apakah dia memenuhi ciri-ciri yang saya kehendaki? Sebenarnya, saya berat hati juga kalau sangkut menyangkut benda ni. Sebab saya sendiri tak dapat nak pastikan dengan jelas sukatan perempuan yang saya suka, ciri-cirinya dan sebagainya.
Tetapi saya usahakanlah seboleh mungkin.
Maka ini perkongsiannya.
Sederhana
Saya senang kalau bakal isteri saya adalah seorang yang sederhana. Sederhana dengan harta, sederhana dengan penampilan, sederhana dengan ilmunya, sederhana dengan akhlaknya, dan sederhana dengan agamanya.
Jangan salah faham sederhana ni sama dengan separuh/tak cukup. Ini masalah la.
Sederhana yang saya maksudkan adalah, kalau dia kaya, dia tak bermegah-megah. Kalau dia cantik, dia tak menunjuk-nunjuk. Kalau dia berilmu, dia tak bising-bising tunjuk bagus. Kalau dia orang puji solehah, dia tidak pula overboard perasan baik. Kalau dia miskin, dia tak merungut-rungut. Kalau dia hodoh, dia tak mengeluh-ngeluh. Kalau dia kurang pandai, dia tidak pula terlalu memperbodoh-bodohkan dirinya. Kalau dia tak solehah sangat, dia taklah menunjuk-nunjuk ketidak solehahanya.
Sederhana. Bukanlah saya nak dia sederhana ni sebab kepuasan saya. Atau mungkin ada orang fikir: “Nak jadi isteri penulis islamik, mesti la kena macam malaikat”. Saya tidak tetapkan standard ni, untuk sekufu dengan standard saya ke, apa ke. Saya tak pernah pandang pun standard-standard ni.
Sederhana, bukan sebab perempuan itu nak jadi isteri Hilal Asyraf. Saya nampak, isteri saya perlu sederhana adalah kerana, dia nak jadi ibu kepada anak-anak saya.
Itu sahaja.
Agamanya bersih
Selepas sederhana, baru datang yang lain. Seterusnya, saya senang kalau isteri saya ada kefahaman dalam Islam. Maksud kefahaman kat sini, bukanlah dia faham Islam sehebat Zainab Al-Ghazali ke, faqih sampai tahap macam Aisyah RH ke, bukan, dan bukan. Tak semestinya juga, bila saya cakap ada kefahaman agama, dia kena ambil bidang Usuluddin ke, Usul Fiqh ke, Bahasa Arab ke, bukan. Bukan. Ambil komputer pun, ok.
Sekurang-kurangnya, dia adalah yang faham apa Allah nak, dan apa yang Allah benci. Seterusnya dia faham kenapa kena ambil Islam sebagai jalan hidup. Kemudian faham pula kenapa keluarga itu perlu dibina atas keimanan. Kenapa anak-anak perlu ditarbiyah dengan didikan Islam.
Kenapa? Sebab saya tangan saya ada dua sahaja. Tubuh saya ada satu sahaja. Saya ada tugasan saya dengan keluarga dan masyarakat. Kalaulah isteri saya seorang yang agamanya bersih, maka tugas saya ke atas keluarga jadi ringan. Tambahan, isteri saya boleh tegur saya kalau dia rasa saya silap dalam perjalanan saya menjadi hamba Allah.
Bila saya terluka dengan masyarakat, maka keluarga akan menyembuhkan saya.
Tidaklah bila saya terluka dengan masyarakat, keluarga juga melukakan saya.
Wajahnya menyenangkan
Saya akan cari yang menyenangkan mata saya memandang. Antara doa saya kepada Allah adalah:
“Ya Allah, berikanlah aku isteri, yang menyejukkan pandangan mataku”
Nanti bila saya letih bekerja, saya melihat wajahnya, hilang segala letih saya.
Macam mana nak kira wajah menyenangkan ni, saya pun tak reti nak beritahu. Tapi bila saya senang melihat wajahnya, itu kira fit dengan perkiraan saya la tu. Jadi, nak cerita kat sini, susah. Saya tak ada perkataan selain ayat – kalau saya lihat dia, saya senang hati – untuk dijadikan ukuran.
Dan saya fikir, anak-anak saya akan membesar dengan gembira apabila wajah ibu mereka membuatkan mereka senang hati.
Anak-anak saya mesti gembira.
Keturunannya baik
Ada orang ingat, keturunan baik ni dari golongan tengku ke, raja ke, syarif ke. Saya tak kira ‘keturunannya baik’ ini dari segi pangkat. Saya nampak, ‘keturunannya baik’ ini adalah keluarganya orang baik-baik. Bukan jenis buat dosa-dosa besar. Dan paling penting, mak ayahnya juga baik dan sederhana, mesra dan jujur, amanah dan menyenangkan, ambil berat dan penyayang.
Kalau tanya saya kenapa saya perlukan keturunannya demikian?
Mudah. Bukan untuk saya.
Untuk anak-anak saya.
Berharta?
Saya tak tahu saya perlu letak atau tidak perkara ini. Saya fikir, kalau dah cukup empat yang di atas, saya tak perlukan kut ‘harta’ ni. Isteri saya itu adalah satu ‘harta’. Jadi selain dirinya, saya tidak perlukan dia mempunyai harta lain.
Dan kalau dia punya harta, saya akan berusaha tidak menyentuh sesen pun duitnya.
Saya akan berusaha, biar wang saya sahaja sudah cukup untuk menampung kehidupan kami sekeluarga.
Kalau boleh, isteri saya tidak perlu bekerja. Saya senang kalau dia menjadi suri rumah.
Agar dia boleh luang masa dengan anak-anak saya. Mentarbiyah mereka terus dari tangannya. Menyayangi mereka terus dari hatinya. Mengasihi mereka terus dari jiwanya. Agar anak-anak saya membesar dengan didikan air tangannya. Biar anak-anak saya sangat sayang pada dia. Biar anak-anak saya anggap, ibu mereka adalah harta termahal yang Allah beri kepada mereka dan saya.
Saya nak isteri saya happy-happy aja
Saya tak nak isteri yang panas baran. Kalau boleh, harapnya perkataan yang busuk-busuk, sumpah seranah, semua dia tak tahu. Kalau tahu pun, tak sebut. Saya nak isteri saya sentiasa tersenyum, senang hati dan hatinya lembut.
Saya nak gurau-gurau dengan dia, romantik-romantik dengan dia, manja-manja dengan dia, sayang dia sepenuh-penuhnya, dan mencintainya dengan seluruh diri saya.
Saya nak isteri saya happy-happy aja. Dengan saya macam kawan, sahabat akrab yang tersangat akrab. Dengan saya dia tiada malu. Dengan saya dia tiada segan. Dengan saya dia tiada simpan. Kalau dia nak marah saya, dia senang cakap terus dengan saya tanpa cakap belakang.
Biar anak-anak saya membesar dengan suasana kasih sayang. Biar anak saya faham erti cinta. Biar anak saya tidak membesar dengan tertekan. Biar anak saya sentiasa gembira. Biar anak saya sentiasa rasa tenang dan senang. Biar anak saya nampak, rumah itu adalah syurga dia, ibu ayah dia adalah permata.
Saya hairan
Saya hairan dengan orang yang kahwin untuk kepuasan dirinya sahaja. Entah kenapa, setiap kali saya fikir fasal berkahwin, saya akan nampak anak saya. Saya akan rasa berdosa dengan anak saya, kalau saya hari ini merosakkan masa hadapannya.
Saya juga rasa kelakar dengan orang yang bising-bising fasal baitul muslim, tetapi di matanya dia nampak adalah – baitul muslim=cari pasangan untuk kahwin. Sampai ada unit baitul muslim untuk cari jodoh.
Tetapi, baitul muslim itu bukankah hakikatnya projek untuk mendapatkan redha Allah? Ia bukan berhenti pada gerbang perkahwinan dengan pasangan yang kita cari, tetapi ia berterusan sampai ke akhirat nanti.
Siapa sebelum berkahwin, dia fikir benda-benda ni?
Siapa?
Sebab itu, ramai yang dapat kahwin dengan pasangan soleh/solehah, tetapi tak ramai yang dapat produce anak yang soleh/solehah, dan tak ramai pula mampu membina keluarga yang soleh/solehah. Sebab apa?
Dia nampak, ending dia pada perkahwinan sahaja. Dia tidak nampak di alam perkahwinan, dia perlu buat apa. Dia hanya bersedia, untuk berkahwin sahaja. Dia tidak bersedia untuk mengharungi rumah tangga dalam keadaan mengejar redha Allah SWT.
Penutup: Entah dapat, entah tidak.
Saya rasa sedih pula bila tulis artikel ni. Saya sendiri tidak pasti sama ada saya akan dapat apa saya mahu. Hidup ini bukan macam skrip novel yang boleh saya reka endingnya. Sebab hidup ini bukan dijalankan oleh kita sahaja. Hidup ini berjalan dengan jutaan manusia lain.
Apa masa hadapan saya? Saya tidak tahu. Yang ada pada tangan saya hanyalah usaha. Usaha tanpa jemu. Penetapan ciri-ciri ini juga, adalah usaha saya. Agar perjalanan masa hadapan saya, sentiasa berlegar-legar dalam pencarian ke araah redha-Nya.
Baik, kepada yang bertanya, saya sudah menunaikan.
Kamu hendak buat apa lepas tahu semua ini?
**From: HILAL ASYRAF (http://ms.langitilahi.com/diari-perempuan-yang-saya-suka/)**
3 comments:
sweet..semoga Allah mempermudahkan percarian kamu.....
Jadilah yang terbaik untuk memiliki tang terbaik :)
*yang terbaik
Post a Comment